Salam Idul Adha buat semua Muslimin dan Muslimat!
Semoga Idul Adha kali ini lebih dihayati, bukan sekadar untuk dirayakan sahaja. Sama-sama kita muhasabah diri, mengenang tentang kesanggupan Nabi Ibrahim AS untuk mengorbankan anaknya, Nabi Ismail AS demi menurut perintah Allah SWT...
Bagaimana dengan kita? Adakah kita sanggup 'mengorbankan' sesuatu demi memenuhi suruhan dan larangan Allah SWT? Masakan, yang tidak memerlukan pengorbanan pun sukar untuk kita laksanakan. Sama-sama kita renungkan...
Apakah definisi Idul Adha yang sebenarnya?
Berkenaan pengertian Idul Adha, di sini dinyatakan 3 buah hadith yang diriwayatkan oleh Abi Hurairah di dalam lafaz yang berbeza-beza:
"Dari Abi Hurairah RA, beliau berkata: “Sesungguhnya Nabi SAW telah bersabda. Puasa itu ialah pada hari kamu berpuasa, dan (Idul) Fitri itu ialah pada hari kamu berbuka. Dan (Idul) Adha itu ialah pada hari kamu menyembelih haiwan." (Riwayat Tirmidzi)
Hadith ini adalah sahih dan dikeluarkan oleh Imam-imam: Tirmidzi No. 693, Abu Dawud No. 2324 dan Ibnu Majah No. 1660.
Di dalam lafaz Imam Ibnu Majah:
"(Idul) Fitri itu ialah pada hari kamu berbuka, dan (Idul) Adha pada hari kamu menyembelih haiwan." (Riwayat Ibnu Majah)
Manakala yang diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud:
"Dan (Idul) Fitri kamu itu ialah pada hari kamu (semuanya) berbuka, sedangkan (Idul) Adha ialah pada hari kamu (semuanya) menyembelih haiwan." (Riwayat Abu Dawud)
Berkenaan ibadat korban, ingin saya kongsikan bersama terjemahan artikel karangan Abu-At-Thayyib Shidiq Hasan bin Ali Al-Hushaini Al-Qanuji Al-Bukhari yang berjudul Tatacara Penyembelihan Korban. Hasil penulisan ini diterjemahkan dari kitab Ar-Raudhatun Nadhiyyah Syarh Ad-Durar Al-Bahiyyah, karangan Abu Abdirrahman Asykari bin Jamaluddin Al-Bugisy. Moga artikel ini bermanfaat buat anda semua, insyaAllah!
1. Disyariatkan Bagi Setiap Keluarga
Berdasarkan hadith Abu Ayyub Al-Anshary, beliau berkata:
“Pada zaman Rasulullah SAW, ada seorang berkorban dengan seekor kambing untuknya dan keluarga-nya."(Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi dan disahihkannya dan dikeluarkan Ibnu Majah semisal hadith Abu Sarihah dengan sanad sahih)
Jumhur berpendapat bahawa hukum berkorban adalah sunnah, bukan wajib. Demikianlah yang dikatakan oleh Imam Malik. Dan beliau berkata : "Saya tidak menyukai seseorang yang kuat (sanggup) untuk membelinya (binatang ) lalu dia meninggalkannya.” Pendapat Imam Syafi'i adalah sama.
Adapun Rabi'ah, Al-Auza'i, Abu Hanifah dan Al-Laits, dan sebahagian pengikut Malikiyah berpendapat bahawa hukumnya wajib bagi yang mampu. Demikian pula yang diceritakan dari Imam Malik dan An-Nakha'iy.
Orang-orang yang berpendapat akan wajibnya (berkorban) berpegang pada hadith :
"Tiap-tiap ahli bait (keluarga) harus ada sembelihan (udhiyah)."
Imam Thahawi dan lainnya berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
"Barangsiapa yang mempunyai kemampuan (untuk berkorban) lalu dia tidak berkorban maka jangan sekali-kali mendekati tempat solat kami."
Diantaranya juga adalah jadith Jundub bin Sufyan Al-Bajaly dalam Sahihain dan lainnya, berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
"Sesiapa yang menyembelih sebelum dia solat maka hendaklah dia menyembelih sekali lagi sebagai gantinya. Dan barangsiapa yang belum menyembelih hingga kami selesai solat, maka hendaklah dia menyembelih dengan (menyebut) nama Allah."
Dan yang semisal hadith ini tidak bisa dijadikan hujah, kerana pada sanad-sanadnya ada perawi yang dituduh berdusta dan ada yang sangat dha’if.
2. Korban Dilakukan Paling Sedikit ialah Seekor Kambing
Berdasarkan hadith yang terdahulu, Al-Mahally berkata:
"Unta dan sapi cukup untuk tujuh orang. Sedangkan seekor kambing mencukupi untuk seorang. Tapi apabila mempunyai keluarga, maka (dengan seekor kambing itu) mencukupi untuk keseluruhan mereka. Demikian pula dikatakan bagi setiap orang di antara tujuh orang yang turut serta dalam penyembelihan unta dan sapi. Jadi hukum berkorban adalah sunnah kifayah (sudah memadai keseluruhan dengan satu korban) bagi setiap keluarga, dan sunnah 'ain (setiap orang) bagi yang tidak memiliki rumah (keluarga)."
Menurut ulama’ Hanafiah, seekor kambing tidak mencukupi melainkan untuk seorang sahaja. Sedangkan sapi dan unta tidak mencukupi melainkan untuk setiap tujuh orang. Mereka tidak membezakan di antara yang berkeluarga dan tidak. Menurut mereka berdasarkan penakwilan hadith itu, maka berkorban tidaklah wajib kecuali atas orang-orang yang kaya dan tidaklah orang tersebut dianggap kaya menurut keumuman di zaman itu kecuali orang yang memiliki rumah.
Dan dinisbahkan korban tersebut kepada keluarganya dengan maksud bahawa mereka membantunya di dalam berkorban dan mereka memakan dagingnya serta mengambil manfaatnya.
Juga dibenarkan melibatkan tujuh orang pada seekor unta atau sapi, meskipun mereka adalah dari keluarga yang berbeza. Ini merupakan pendapat para ulama’. Selain itu, tidak ada korban untuk janin (belum lahir).
3. Waktunya Berkorban Setelah Melaksanakan Solat Idul Adha
Rasulullah SAW bersabda:
"Barangsiapa menyembelih sebelum solat hendaklah menyembelih sekali lagi sebagai gantinya, dan sesiapa yang belum menyembelih hingga kami selesai solat maka menyembelihlah dengan Bismillah."
Hadith ini terdapat di dalam Sahihain.
Di dalam Sahihain dari hadith Anas, Nabi SAW bersabda:
"Sesiapa yang menyembelih sebelum solat maka hendaklah dia mengulanginya." (Riwayat Bukhari)
Berkata Ibnu Qayyim: "Dan tidak ada pendapat seseorang dengan adanya (perkataan) Rasulullah SAW, yang ditanya oleh Abu Burdah bin Niyar tentang seekor kambing yang disembelihnya pada hari Idul Adha, lalu beliau berkata:
“Apakah (dilakukan) sebelum solat?” Dia menjawab: “Ya.” Beliau SAW berkata: Itu adalah kambing daging (yakni bukan kambing korban).” (Riwayat Muslim)
Ibnu Qayyim berkata : "Hadith ini sahih dan jelas menunjukkan bahwa sembelihan sebelum solat tidak dianggap (korban), sama sahaja apakah telah masuk waktunya atau belum. Inilah yang kita jadikan pegangan secara qat'i (pasti) dan tidak diperbolehkan (berpendapat) selainnya. Dan pada riwayat tersebut terdapat penjelasan bahawa yang dijadikan penentuan (berkorban) adalah solatnya Imam.”
4. Akhir Waktunya Adalah Di Akhir Hari-hari Tasyriq
Berdasarkan hadith Jubair bin Mut'im dari Nabi SAW, bersabda:
"Pada setiap hari-hari tasyriq ada sembelihan.”
Hadith ini dikeluarkan Imam Ahmad dan Ibnu Hibban dalam sahihnya dan Al-Baihaqi. Dan terdapat jalan lain yang menguatkan antara satu dengan riwayat yang lainnya. Hadith ini juga diriwayatkan dari hadith Jabir dan lainnya dan ini diriwayatkan segolongan dari sahabat. Maka perselisihan di dalam perkara ini adalah ma'ruf.
Di dalam Al-Muwatha' dari Ibnu Umar:
"Al-Adha (berkurban) dua hari setelah dari Adha."
Demikian pula dari Ali bin Abi Talib. Manakala pendapat Al-Hanafiah dan madhab Syafi'iyah bahawa akhir waktunya sampai terbenamnya matahari dari akhir hari-hari tasyriq berdasarkan hadith Imam Al-Hakim yang menunjukkan hal tersebut.
5. Sembelihan yang Terbaik adalah yang Paling Gemuk
Berdasarkan hadith Abu Rafi':
"Bahawa Nabi SAW bila berkorban, membeli dua qibas yang gemuk.” (Riwayat Ahmad dan lainnya dengan sanad Hasan).
Hadith yang dikeluarkan oleh Imam Bukhari bahawa Abu Umamah bin Sahl berkata:
"Adalah kami menggemukkan haiwan korban di Madinah dan kaum Muslimin menggemukkan (haiwan korbannya).” (Riwayat Bukhari)
Korban yang paling afdhal (utama) adalah qibas (domba jantan) yang bertanduk. Sebagaimana yang terdapat pada suatu hadith dari Ubadah bin Ash-Shamit dalam riwayat Abu Dawud, Ibnu Majah, Al-Hakim dan Al-Baihaqi secara marfu' dengan lafaz:
"Sebaik-baik haiwan korban adalah domba jantan yang bertanduk.” (Juga dikeluarkan oleh At-Tirmidzi, Ibnu Majah dan Al-Baihaqi dari hadith Abu Umamah dan di dalam sanadnya terdapat 'Ufair bin Mi'dan dan dia dha'if).
Al-Udhiyah (sembelihan kurban) yang dimaksudkan bukanlah Al-Hadyu. Dan terdapat pula nas pada riwayat Al-Udhiyah, maka nah wajib didahulukan dari qiyas (mengqiyaskan udhiyah dengan Al-Hadyu), dan hadith: "Domba jantan yang bertanduk", adalah nas diantara perselisihan ini.
Adapun penyembelihan korban Nabi SAW berupa haiwan yang dikebiri tidak menunjukkan lebih afdhal dari yang lainnya, namun yang ditunjukkan pada riwayat tersebut bahawa berkorban dengan haiwan yang dikebiri adalah boleh.
6. Tidak Mencukupi Korban Ada yang di bawah Al-Jadz'u
Al-jadz’u membawa maksud kambing yang berumur kurang dari satu tahun.
Berdasarkan hadith Jabir dalam riwayat Muslim dan selainnya berkata bahawa telah bersabda Rasulullah SAW:
"Janganlah engkau menyembelih melainkan musinnah (kambing yang telah berumur dua tahun) kecuali bila kalian kesulitan maka sembelihlah jadz'u (kambing yang telah berumur satu tahun)." (Riwayat Muslim)
Dan dikeluarkan oleh Ahmad dan At-Tirmidzi dari Abu Hurairah:
"Sebaik-baik sembelihan adalah kambing jadz'u.” (Riwayat Ahmad dan At-Tirmidzi)
Dikeluarkan pula oleh Ahmad dan Ibnu Majah, Al-Baihaqi dan At-Thabrani dari hadith Ummu Bilal binti Hilal dari bapanya bahawa Rasulullah SAW bersabda:
" Boleh berkorban dengan kambing jadz'u.”
Jumhur berpendapat bahawa boleh berkorban dengan kambing jadz'u. Barangsiapa yang beranggapan bahawa kambing tidak memenuhi kecuali untuk satu atau tiga orang sahaja, atau beranggapan bahawa selainnya lebih utama maka hendaklah membawakan dalil. Dan tidaklah cukup menggunakan hadits Al-Hadyu sebab itu adalah bab yang lain.
7. Dan Tidak Mencukupi Selain Dari Ma'zun
Ma’zun adalah kambing yang kurang dua tahun.
Berdasarkan hadith Abu Burdah di dalam Sahihain dan lainnya bahawa dia berkata:
"Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya mempunyai haiwan ternak ma'zun jadz'u. Lalu beliau berkata: Sembelihlah, dan tidak boleh untuk selainmu.” (Riwayat Bukhari)
Adapun yang diriwayatkan dalam Sahihain dan lainnya dari hadith 'Uqbah, bahawa Nabi SAW membahagikan kambing kepada para sahabatnya sebagai haiwan korban, lalu yang tersisa adalah 'Atud (anak ma'az). Maka Rasulullah SAW diberitahu, lalu Baginda menjawab: "Berkorbanlah engkau dengan ini.”
Al-'Atud adalah anak ma'az yang umurnya sampai setahun.
Dikeluarkan pula oleh Al-Baihaqi dengan sanad yang sahih bahwa 'Uqbah berkata:
"Rasulullah SAW membahagikan kambing kepada para sahabatnya sebagai haiwan kurban, lalu tersisa 'atud. Maka beliau berkata: “Berkorbanlah engkau dengannya dan tidak ada rukhsah (keringanan) terhadap seseorang setelah engkau.” (Riwayat Al-Baihaqi)
Al-Imam An-Nawawi menukilkan kesepakatan bahawa tidak mencukupi jadz'u dari ma'az.
Shidiq Hasan Khan berkata: "Mereka sepakat bahawa tidak boleh ada unta, sapi dan ma'az kurang dari dua tahun. Manakala kambing jadz'u boleh menurut mereka dan tidak boleh haiwan yang terpotong telinganya. Namun Abu Hanifah berkata: "Apabila yang terpotong itu kurang dari separuh, maka boleh.”
8. Haiwan Kurban Tidak Buta Sebelah, Sakit, Pincang dan Kurus, Hilang Setengah Tanduk atau Telinganya
Berdasarkan hadith Al-Barra di dalam riwayat Ahmad dan Ahlul Sunan serta disahihkan oleh At-Tirmidzi, Ibnu Hibban dan Al-Hakim:
"Empat yang tidak diperbolehkan dalam berkorban; (Haiwan kuoban) buta sebelah yang jelas butanya, sakit yang jelas sakitnya, pincang yang jelas bengkoknya dan tidak sanggup berjalan, dan yang tidak mempunyai lemak (kurus).” (Dalam riwayat lain dengan lafaz-lafaz ajfaa'/kurus pengganti al-kasiirah).
Dan dikeluarkan oleh Ahmad, Ahlul Sunan dan disahihkan At-Tirmidzi dari hadith Ali:
"Rasulullah SAW melarang, seseorang berkorban dengan haiwan yang terpotong setengah dari telinganya.”
Qatadah berkata: "Al-'Adhab, adalah (yang terpotong) setengah dan lebih dari itu.”
Dikeluarkan oleh Ahmad, Abu Dawud, Al-Hakim dan Bukhari dalam tarikhnya, berkata:
"Hanyasanya Rasulullah SAW melarang dari Mushfarah, Al-Musta'shalah, Al-Bakhqaa', Al-Musyaya'ah dan Al-Kasiirah. Al-Mushafarah adalah yang dihilangkan telinganya dari pangkalnya. Al-Musta'shalah adalah yang hilang tanduknya dari pangkalnya, Al-Bukhqa' adalah yang hilang penglihatannya dan Al-Musyaya'ah adalah yang tidak dapat mengikuti kelompok kambing kerana kurus dan lemahnya, dan Al-Kasiirah adalah yang tidak berlemak.”
9. Bersedekah dari Udhiyah, Memakan dan Menyimpan Dagingnya
Berdasarkan hadith Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
“Makanlah, simpanlah dan bersedekahlah.” (Riwayat Muslim)
Diriwayatkan dalam Sahihain.
10. Menyembelih di Kawasan yang Digunakan untuk Shalat Idul Adha adalah Lebih Utama
Untuk memperlihatkan syi'ar agama, berdasarkan hadith Ibnu Umar dari Nabi SAW:
"Bahawa beliau menyembelih dan berkorban di Mussola.” (Riwayat Bukhari)
11. Bagi yang Memiliki Korban, jangan Memotong Rambut dan Kukunya setelah Masuknya 10 Dzul-Hijjah hingga Dia Berkorban
Berdasarkan hadith Ummu Salamah, bahwa Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda :
"Apabila engkau melihat bulan Dzul-Hijjah dan salah seorang kalian hendak berkorban, maka hendaklah dia menahan diri dari rambut dan kukunya.” (Riwayat Bukhari)
Di dalam lafaz Muslim dan selainnya:
"Barangsiapa yang punya sembelihan untuk disembelih, maka apabila memasuki bulan Dzul-Hijjah, jangan sekali-kali mengambil (memotong) dari rambut dan kukunya hingga dia berkuoban.” (Riwayat Muslim)
Para ulama' berbeza pendapat di dalam permasalahan ini. Sa'id bin Al-Musayyib, Rabi'ah, Ahmad, Ishaq, Dawud dan sebahagian pendukung Syafi'i berpendapat, bahwa diharamkan memotong rambut dan kukunya sehingga dia menyembelih waktu udhiyah.
Imam Syafi'i dan murid-muridnya berkata makruh tanzih.
Al-Mahdi menukilkan dalam kitab Al-Bahr dari Syafi'i dan selainnya, bahawa meninggalkan mencukur dan memendekkan rambut bagi orang yang hendak berkorban adalah disukai.
Berkata Abu Hanifah bahawa perbuatan itu tidak makruh.
Allahu Ta'ala a'lam...
Posted by Dini Syarif at 1:30 PM (2006)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar